Search This Blog

Friday, 12 April 2013

Kepentingan sistem dua parti

Walaupun berasal dari sekolah rendah kebangsaan Cina, namun cinta akan Bahasa Melayu menpunyai pengaruh kuat atas diri saya.

Apabila bermulanya sesi pembelajaran di sekolah menengah yang kebanyakannya pelajar Melayu, maka pintu untuk saya mendalami lagi bahasa kebangsaan terbuka luas, dan secara tidak langsung, dapat menyelami budaya orang Melayu itu sendiri.

Saya tidak pernah puas hati dengan bahan bacaan sastera pada tingkatan sendiri.

Buku-buku ini seronok dibaca, tetapi tidak cukup kuat perisanya dan cara penulisan yang kelihatannya kurang matang, hati saya berbisik kecil selepas menghabiskan buku komponen sastera Tingkatan 1.

Maka diteruskan kepada bacaan Tingkatan 2.

Ayah yang merupakan guru tuisyen Bahasa Melayu terpaksa menyembunyikan semua buku sastera yang ada kerana bimbang matapelajaran yang lain, terutama sekali Matematik, diabaikan. 

Ada kalanya, saya berjaya mencari "harta disembunyi" itu! Ibu dan bapa cukup marah dan terhibur dapat menangkap saya sedang khusyuk membaca cerpen-cerpen dan prosa tradisional tanpa menyedari kehadiran mereka.

Majalah seperti Dewan Siswa dan Dewan Masyarakat cukup seronok untuk dilayan pada masa itu.

Ketika membaca, sering kali saya berangan dapat menulis sebaik mereka dan mungkin suatu hari nanti, saya dapat membaca tulisan sendiri dalam majalah itu!

Malang sekali, segala berubah pada hari saya membeli senaskah Dewan Masyarakat edisi Mac 2013.

Pada muka surat ketiga:
"Tidak pernah ada kudeta tentera di Malaysia kerana prinsip civilian supremacy sentiasa difahami dan dihormati semua pihak. Begitu juga tidak pernaha ada dan tidak mungkin akan ada sistem dua parti di Malaysia kerana rakyat Malaysia mempunyai sudut pandangan berbeza yang sihat." -
Ucaptama PM Datuk Seri Najib Razak merasmikan Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung dengan Keselamatan, Utusan Malaysia, 15 Januari 2013.

Sebagai seorang pengundi muda, kenyataan ini cukup mengecewakan. Zaman ini sudah berkembang dengan pesatnya, daripada teknologi hinggalah ke tahap ilmu pengetahuan, namun sistem dua parti masih dipertikaikan.
Secara peribadi, penulis tidak percaya bahawa Najib percaya benar kepada kata-katanya sendiri; kata-kata itu hanya untuk memancing undi.

Yang lebih mengecewakan, bukan kerana seorang ahli politik yang tidak bercakap benar, tapi masih ada maklumat taraf rendah begini yang disuapkan kepada masyarakat.

Lebih selamat untuk diandaikan bahawa kebanyakan pembaca Dewan Masyarakat mungkin terdiri daripada mereka yang muda. 
Mereka membeli kerana ingin mengambil tahu isu-isu semasa negara yang dicintai. Bayangkan kalau maklumat sebegini disebarkan dan dihadamkan: adakah demokrasi Negara ini akan subur?

Penulis berpendapat bahawa masyarakat sebenarnya jauh lebih matang dan bersopan daripada ahli-ahli politik yang bermaharajalela di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Masyarakat Malaysia kini sudah bersedia untuk memasuki era yang baru. Sedia ini sehingga tahap tidak akan terjejas dengan unsur-unsur seperti filem Tanda Putera yang dikatakan berunsur perkauman.

Filem 'Tanda Putera' ditayangkan di belakang pintu tertutup, khas untuk pelajar UIA dan masyarakat Felda.

Tidak cukup dengan itu, pelajar-pelajar terpaksa berdepan dengan seorang wakil kerajaan yang dikatakan mengutuk kaum-kaum lain serta pengerakan yang dianggap anti-kerajaan.

Kerajaan Barisan Nasional harus membiarkan rakyat sendiri menilai dan membuat keputusan sama ada filem itu baik atau buruk.

Kerajaan yang sama juga harus melihat diri di cermin apabila isu perkauman terlibat.

Sebagai Perdana Menteri, Najib harus bertindak sebagai penjaga sistem demokrasi, bukan memulakan budaya penipuan dan pembodohan rakyat.
Kepentingan politik tidak sepatutnya melangkaui dan menjadi lebih penting daripada kepentingan Negara.

Wajar dinyatakan di sini bahawa negara Malaysia tidak sama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional, seperti UMNO. Kerajaan sesebuah negara boleh dan harus ditukarkan sekali-sekala dalam demokrasi yang sihat.

Parti-parti politik hanya dapat berada dalam kerajaan kerana diberi mandat oleh rakyat. Mereka ini hanya Yang Berkhidmat (YB).

Jika diterima analisis di atas, kewujudan sistem dua parti tidak saja menjadi penting, tetapi menjadi satu petanda bahawa sesuatu sistem demokrasi itu sihat, di mana ketiadaannya memaklumkan tahap kematangan rakyat sesebuah negara bergelar demokrasi.

(The Malaysian Insider)

No comments: